17 JUN : Malaysia mencatat lonjakan kedudukan dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merupakan pencapaian terbaik negara sejak lima tahun lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pencapaian itu petunjuk jelas usaha reformasi Kerajaan MADANI membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, Malaysia mencatat lonjakan membanggakan dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia 2025 apabila naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23, pencapaian terbaik sejak lima tahun lalu.
“Ini petunjuk jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan MADANI sedang membuahkan hasil.
“Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaporkan prestasi Malaysia yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025.
Menurut MITI, pencapaian itu mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia selain mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033 yang disasar Kerangka Ekonomi MADANI.
Dalam pada itu, Anwar berkata prestasi memberangsangkan dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif dan mampan.
“Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” katanya.
IMD berpangkalan di Switzerland menerbitkan WCR setiap tahun, satu laporan komprehensif yang menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.
