17 JUN : Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran dinasihat agar meninggalkan negara itu dengan serta merta.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan mengumumkan perkara tersebut susulan perkembangan semasa di negara itu yang berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran.
“Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan agar meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.
“Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal,” kata kementerian itu, hari ini.
Menurut kementerian, pada masa ini, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berterusan berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang sudah berdaftar di Iran.
“Kesemua mereka disahkan selamat dan dinasihatkan untuk meninggalkan Iran dengan segera.
“Kedutaan Besar Malaysia akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan kementerian ini,” kata kenyataan itu lagi.
Kata kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang memantau rapi perkembangan keselamatan negara itu.
“Usaha ini sudah dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun 2025 yang memburukkan lagi ketegangan secara ketara di rantau tersebut,” kata kementerian.
Dalam pada itu, sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi kedutaan di No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb atau hubungi +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 atau e-mel kepada mwtehran@kln.gov.my/mwconsular.teh@gmail.com
Kata kementerian, sebagai langkah berjaga-jaga, bilik gerakan diaktifkan berkuat kuasa 17 Jun 2025 dan ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia yang berada di Iran boleh menghubungi kementerian bagi mendapatkan maklumat lanjut di +603 8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.
*OLEH : HANUM RAJAK