Shell tambah pelaburan lebih RM9 bilion

17 JUN : Syarikat minyak dan gas, Shell akan menambah pelaburannya ke negara ini melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun mendatang.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Menurut Anwar, penambahan pelaburan itu bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di negara ini.
Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelaburan itu juga satu manifestasi keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Saudara Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara. Justeru, beliau memaklumkan bahawa Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang yang bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan Sawan, hari ini.
Menurut Anwar, beliau memanfaatkan pertemuan itu dengan berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang.
Katanya, Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, tetapi sudah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama.
“Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK