17 JUN : Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran meneliti kembali sebilangan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap pelajar cemerlang itu wajar diberi ruang sewajarnya sama ada di universiti mahu pun matrikulasi.
“Pelajar-pelajar ini perlu mendapat peluang sama rata untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi kerana bukan hanya cemerlang dalam peperiksaan tetapi juga harapan ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa Madani (KeDesa) Didik MADANI 2025 di Politeknik Bagan Datuk, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata setiap pelajar akan dibantu sama ada ke universiti atau ke aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya percaya bahawa setiap anak di Bagan Datuk tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya.
“Yang cemerlang dalam akademik, kita bantu ke universiti. Yang berbakat dalam bidang teknikal, kita bimbing ke laluan TVET yang kini semakin diiktiraf dan menjanjikan masa depan yang cerah,” katanya.
Terdahulu, seramai 106 pelajar cemerlang SPM dan 5 pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari Bagan Datuk menerima insentif pendidikan Yayasan Pelajaran MARA.
Program kesedaran itu disertai lebih 1,000 pelajar sekolah menengah di sekitar Bagan Datuk dan masyarakat setempat.
Program itu bertujuan memberi pendedahan dan saluran pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar serta pedalaman.
