Harga RON97, diesel naik 7 sen
18 JUN : Harga runcit petrol RON97 dan diesel meningkat sebanyak 7 sen seliter bagi tempoh 19 Jun hingga 25 Jun 2025.
Perubahan harga itu diumum Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut MoF, kenaikan harga itu seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia.
“Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 7 sen seliter iaitu daripada RM3.07 seliter kepada RM3.14 seliter.
“Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter sementara harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia naik sebanyak 7 sen seliter iaitu daripada RM2.74 seliter kepada RM2.81 seliter,” kata MoF.
Menurut MoF, harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter dalam tempoh tersebut.
Kementerian juga memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit petrol RON97 serta diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak selain menyokong kestabilan harga,” kata MoF.
Dalam pada itu, MoF memaklumkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism.
Selain itu, menurut MoF, kerajaan akan terus mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
*OLEH : HANUM RAJAK