18 JUN: Lonjakan 11 anak tangga Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2025 ke kedudukan ke-23 memperlihatkan ekonomi negara berada dalam fasa pemulihan yang semakin stabil.
Penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kedudukan tersebut bukan sekadar pencapaian angka tetapi turut membawa makna besar terhadap kepercayaan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kekal positif serta kecekapan kerajaan dalam mengurus pelaburan serta perdagangan turut menjadi faktor utama di sebalik peningkatan ini.
“Ranking ini mencerminkan realiti ekonomi negara yang terus menarik peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) setiap tahun, selain imbangan dagang dan akaun semasa yang berada pada tahap memberangsangkan,” katanya kepada BBCPORTAL.
Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata kedudukan terbaharu Malaysia dalam WCR adalah pencapaian terbaik negara sejak 2020 yang mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan.
Mengulas lanjut, Razman berkata pendekatan fiskal yang lebih teliti dan penambahbaikan dalam pengurusan subsidi juga turut membantu meningkatkan persepsi pelabur terhadap ekonomi negara.
“Penyelarasan subsidi dan dasar fiskal boleh menyumbang kepada keyakinan pelabur apabila kerajaan menunjukkan komitmen dalam pengurusan fiskal yang lebih berhemah dan mampu menurunkan ketirisan dan pembaziran setiap tahun.
“Apabila bantuan fiskal dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan, ini akan meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan,” katanya.
Mengulas mengenai tambahan pelaburan strategik lebih RM9 bilion dari syarikat minyak dan gas gergasi, Shell, Razman berkata ia dijangka memberi impak ketara kepada pasaran pekerjaan tempatan khususnya dalam sektor berkemahiran tinggi dan teknologi tenaga.
Jelas beliau, kemasukan pelaburan asing berskala besar bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik malah turut mewujudkan kesan berganda yang menguntungkan tenaga kerja tempatan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Pelaburan besar seperti ini boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik secara menyeluruh…ia bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi, malah membantu PMKS tempatan berkembang dengan wujudnya permintaan sokongan dan perkhidmatan di kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata peningkatan kedudukan Malaysia dalam WCR dijangka membawa kesan langsung kepada rakyat dalam tempoh sederhana terutama dari segi peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
Katanya, keududukan tersebut juga bakal merangsang pasaran buruh serta mendorong pertumbuhan ekonomi domestik secara lebih mampan.
“Dengan prestasi ekonomi yang terus menunjukkan peningkatan dan keyakinan pasaran yang semakin pulih, gaji sektor swasta juga dijangka turut mengalami pertumbuhan,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL