19 JUN : Kerajaan sedang meneliti kembali kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas beberapa barangan import termasuk buah-buahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tindakan itu munasabah untuk dilakukan.
“Saya berpandangan munasabah untuk dilihat semula. Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang meneliti perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan peluasan skop cukai SST kepada barangan import terpilih dan ia menerima pelbagai reaksi.
Ini termasuk Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed yang menyifatkan ia tidak masuk akal susulan produk import turut digunakan rakyat berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pandangan tersebut perlu dibawa ke Kabinet memandangkan tidak semua buah-buahan itu dikeluarkan secara domestik.
“Hasil cukai buah kepada negara pun tidak begitu tinggi, jadi kalau dikenakan SST maka harganya akan meningkat.
“Saya tahu tujuannya adalah untuk melindungi buah tempatan tetapi kita tidak mengeluarkan epal dan limau Mandarin,” katanya.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan di bawah peluasan skop SST yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, Cukai Jualan dikenakan ke atas barangan yang dikeluarkan dalam negara serta barangan yang diimport.
Menurut kementerian, buah-buahan yang diimport tertakluk pada cukai 5 peratus termasuk buah-buahan tropika seperti pisang, nanas dan rambutan.