20 JUN : Gula putih kekal tidak dikenakan cukai selepas pelaksanaan semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan, hari ini.
“MOF ingin menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh MSM Malaysia Holdings Berhad berkaitan kesan semakan semula Cukai Jualan ke atas gula mentah.
“MOF ingin menegaskan bahawa gula bertapis (atau lazimnya dikenali sebagai gula putih) kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST,” kata kementerian itu.
Mengulas lanjut, MOF berkata meski gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan Cukai Jualan sebanyak 5 peratus namun pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai ke atas bahan mentah dan input.
“Oleh itu, tiada sebab untuk berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis lebih-lebih lagi kerana penapis gula seperti MSM terus menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga.
“Penapis dan pengilang gula di Malaysia boleh memohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” kata MOF.
Menurut MOF lagi, pengecualian itu diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).
Kata MOF, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras.
“Ini bertujuan untuk memastikan rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan semakan semula SST,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK