20 JUN : Pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini menimbulkan pelbagai reaksi dan pandangan daripada pelbagai pihak khususnya berhubung kesannya terhadap kos sara hidup serta struktur percukaian sedia ada.
Ia juga menimbulkan persoalan sama ada pembayar cukai pendapatan khususnya golongan berpendapatan tinggi perlu diberi insentif atau pelepasan tambahan bagi mengimbangi beban cukai yang ditanggung.
Penganalisis ekonomi PUTRA Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ida Md Yasin berkata kebimbangan itu difahami namun pada asasnya kerajaan mengimbanginya dengan pelbagai pelepasan cukai individu.“Setakat ini, pelepasan cukai individu yang disediakan oleh kerajaan banyak dan menyeluruh termasuk untuk pendidikan anak, penjagaan ibu bapa, bayaran rawatan kesihatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), takaful, dan juga anak kurang upaya.

“Cuma pelepasan ini sebenarnya lebih memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi termasuk T20 yang mempunyai komitmen keluarga besar atau perbelanjaan khas,” katanya kepada BBCPORTAL.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan kerajaan akan memberi penjelasan terhadap kekeliruan yang timbul selepas pengumuman dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, 9 Jun lalu.
Amir Hamzah mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar dalam usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Sementara itu, Ida berpendapat keutamaan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup seharusnya ditekankan kepada golongan yang lebih terkesan kerana kumpulan berpendapatan tinggi mempunyai fleksibiliti untuk menyesuaikan gaya hidup mereka.
“Kumpulan berpendapatan tinggi secara umumnya sudah mencapai tahap mampu memenuhi semua keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, bekalan air dan eletrik, rawatan kesihatan dan pendidikan…jika ada lebihan pendapatan biasanya mereka membelanjakannya untuk kehendak, bukan keperluan.
“SST hanya dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu yang tidak bersifat kritikal dan ia memberi ruang kepada pengguna untuk membuat pilihan perbelanjaan secara bijak,” katanya.
Pada masa sama, Ida berkata pelaksanaan sistem percukaian yang menyeluruh merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat.
Katanya, melalui peluasan cukai, kerajaan berusaha memastikan agihan semula sumber yang lebih saksama dengan memberi tumpuan kepada penyediaan keperluan asas kepada rakyat.
“Peluasan cukai ini dilihat bertujuan untuk mengurangkan jurang antara golongan miskin dan kaya di mana golongan kaya tidak terlampau kaya dan golongan miskin tidak terlampau miskin.
“SST tidak perlu dilihat sebagai beban semata-mata, sebaliknya sebagai mekanisme keadilan sosial dalam memastikan pembangunan negara dapat dirasai oleh semua rakyat,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL