20 JUN : Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati tarif elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang diluluskan kerajaan.
Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan penetapan tarif itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027.
“Ia di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) membabitkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas; jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api,” kata ST dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, ST berkata kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4 dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024.
“Dengan pelarasan ini, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3),” kata ST.
Dalam pada itu, ST berkata jadual tarif baharu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 dan diselaraskan dalam bil elektrik bermula penggunaan bulan Julai 2025.
Pengguna juga katanya akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci.