21 JUN : Di sebalik tekanan agar berundur, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dilaporkan bertegas untuk tetap mentadbir negara itu dan tidak akan membubarkan Parlimen.
Menteri Pelancongan Thailand, Sorawong Thienthong mengesahkan perkara itu melalui satu hantaran di Facebook.
“Paetongtarn secara jelas mengesahkan kepada kami yang beliau akan terus menjalankan tugas untuk menyelesaikan pelbagai krisis sedang dihadapi negara, sebaik mungkin mengikut kemampuannya.
“Kerajaan juga mengesahkan beliau akan terus berfungsi, tidak akan meletak jawatan atau membubar parlimen,” katanya.
Terdahulu, rakaman perbualan telefon Paetongtarn dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen tersebar yang mengundang kritikan dari rakyat.
Anak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra itu dilihat tunduk kepada Hun dan mengaibkan Panglima Tentera Wilayah Kedua Thailand, Leftenan Jeneral Boonsin Padklang.
Paetongtarn kemudiannya memohon maaf terhadap kandungan rakaman yang tular itu.
Protes juga sudah mula dijalankan di Bangkok yang menuntut Paetongtarn meletakkan jawatan.