21 JUN : Kedutaan Malaysia di Iran diarah menutup operasinya sementara susulan pergolakan yang melanda wilayah itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata arahan sudah dikeluarkan kepada kakitangan kedutaan tersebut agar pulang ke Malaysia segera.
Menurut Mohamad, dalam suasana ketegangan yang meningkat, kebanyakan kedutaan negara-negara lain sudah ditutup.
“Saya telah mengarahkan semua warga kedutaan, termasuk duta…semua rakyat Malaysia sudah diminta keluar dari Iran.
“Namun, ada yang masih tidak mahu keluar, termasuk tiga pelajar di Qom dan seorang di Isfahan kerana berada jauh dari Tehran,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.
Media tempatan melaporkan Israel rancak melancarkan serangan udara ke atas Iran sebagai tindak balas serangan Iran sebelum ini.
Serangan Israel mensasarkan beberapa lokasi termasuk kemudahan nuklear, pangkalan peluru berpandu dan pusat kawalan tentera, awal pagi ini.
Terdahulu, rakyat Malaysia yang berada di Iran dikatakan bakal dibawa keluar pada Jumaat.
Semalam, Mohamad dilaporkan berkata rakyat yang terkandas itu dijangka perlu menempuh 13 jam perjalanan untuk ke sempadan, Turkmenistan.
Menurut Mohamad, urusan pemindahan terpaksa menggunakan laluan darat selepas semua penerbangan dari ibu negara Iran itu tidak dibenarkan beroperasi.