21 JUN : UMNO perlu mempersiapkan jentera kuat di setiap bahagian untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata jentera bahagian itu mesti bersatu hati bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini termasuk sabotaj.
Meski masih berbaki sekitar dua tahun sebelum PRU, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata parti perlu mula melatih jentera dan mengenal pasti ahli yang layak diketengahkan sebagai calon kelak.
Tegasnya, calon itu perlu bersesuaian dengan pemikiran pengundi terutama sekitar 40 peratus (%) golongan muda ketika itu.
“Kita mahu membina negara dengan pemimpin yang memenuhi kehendak rakyat. Pada PRU16, sekitar 40 peratus adalah pengundi golongan muda. Mereka mempunyai tiga fasa iaitu yang berusia 18 tahun, peringkat universiti dan baru tamat universiti.
“Mereka yang berusia 18 tahun mungkin mengundi mengikut ibu bapa masing-masing, namun untuk dua kumpulan lain, pemikiran mereka berbeza dan akan memikirkan siapa pemimpin yang boleh memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Johari mengingatkan wakil rakyat UMNO agar tidak bergaduh atau bermusuh dengan PAS
“Sebab itu saya mengingatkan pemimpin UMNO yang dipilih sebagai wakil rakyat pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bahawa rakyat atau pengundi kita pun ada yang terdiri daripada penyokong PAS.
“Kalau kita nak bergaduh dengan PAS, kita juga bermasalah. Jadi jangan bergaduh, lawan secara semangat politik saja… habis pilihan raya, habislah,” katanya.