22 JUN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan Ketua Polis Negara yang baru dilantik, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail tidak pernah menjadi ahli atau memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik sebagaimana yang didakwa.
Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata maklumat yang disiar sebuah portal berita itu sebelum ini adalah tidak benar, mengelirukan dan mencetus persepsi yang salah sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.
“PDRM juga menegur keras kecuaian media berkenaan dalam menerbitkan maklumat yang tidak disemak secara teliti dan mencalarkan reputasi pasukan serta individu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata etika kewartawanan seharusnya menuntut setiap laporan yang dikeluarkan perlu mendapat pengesahan fakta, proses semakan silang dan memiliki integriti dalam penulisan.
Menurut Kamaruzaman, PDRM kekal berdiri atas asas neutraliti, integriti dan profesionalisme.
“Justeru PDRM tidak akan membiarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pasukan berkenaan.
“PDRM kekal komited melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan memelihara ketenteraman awam,” katanya.
*FOTO : FACEBOOK PDRM
*OLEH : HANUM RAJAK