22 JUN : Amerika Syarikat (AS) memberi amaran agar Iran tidak membalas serangannya yang dibuat terhadap tiga tapak nuklear Tehran.
Amaran itu disuarakan Presiden AS, Donald Trump dalam satu hantaran di Truth Social.
“Sebarang tindak balas Iran terhadap AS akan disambut dengan kekerasan yang jauh lebih hebat daripada apa disaksikan malam ini,” kata Trump.
Terdahulu, Trump mengumumkan tindakannya menyerang tiga tapak tersebut.
Sebelum ini, Tehran sudah memberi amaran kepada AS agar tidak campur tangan dalam perang Iran-Israel.
Dalam pada itu, Iran melalui Kementerian Luarnya mengutuk serangan AS dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak.
Menurut kenyataan dikeluarkan, Iran bertegas negaranya berhak untuk menentang pencerobohan AS dan jenayah yang dilakukan itu.