22 JUN : Malaysia komited untuk menyediakan sokongan penuh dan memastikan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan berkualiti tinggi seperti Google.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menzahirkan penghargaan terhadap syarikat gergasi teknologi itu atas kepercayaan berterusan terhadap Malaysia.
“Terima kasih Google atas kepercayaan berterusan anda terhadap Malaysia! Bersama kita membina masa depan digital yang lebih cerah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Beliau yang kini berada di Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan pertemuan dengan wakil Google untuk membincangkan beberapa perkara.
“Kami membincangkan bagaimana Google dapat terus memacu ekonomi AI dan pengkomputeran awan Malaysia, memperkukuh keselamatan siber, serta melabur dalam kemahiran digital,” katanya.
Pada Mei tahun lalu, Google mengumumkan pelaburan bernilai RM9.4 bilion (AS$2 bilion) bagi menempatkan Pusat Data dan Wilayah Awan Google pertama di Malaysia.
Pelaburan itu dijangka akan menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di negara ini termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).
*OLEH : HANUM RAJAK