MAWO MRSM Ulul Albab ‘mendonia’, raih Anugerah Emas di Prague
22 JUN : MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak ‘mendonia’ selepas meraih Anugerah Emas di Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan itu bukan sekadar kejayaan dalam bidang muzik tetapi juga simbol semangat dan potensi luar biasa anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia.
“Syukur Alhamdulilah! Tahniah dan syabas kepada MAWO dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak yang mengharumkan nama Malaysia apabila meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori middle class di 26th Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025.
“Malaysia, satu-satunya wakil dari Asia, berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam buah negara Eropah!,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkongsi berita itu di Facebook dan memaklumkan festival diadakan di Republik Czech itu disertai 13 kumpulan orkestra dari 11 negara termasuk Malaysia, satu-satunya wakil dari Asia manakala 10 lagi adalah dari Eropah.
Kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, yang lebih membanggakan adalah MAWO dinobatkan sebagai penerima markah tertinggi oleh barisan juri profesional antarabangsa.
“Saya sendiri berpeluang menyantuni mereka dan memberikan sokongan secara langsung pada malam Konsert ‘Desaku Mendunia’ yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, RTM Angkasapuri pada 28 Mei lalu.
“Ketika itu, saya sendiri menyaksikan dan merasai kehebatan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak muda ini penuh bakat, disiplin dan semangat luar biasa sebelum mereka berangkat ke pertandingan berprestij di Prague,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus menyalurkan sokongan yang berterusan, sama ada dari segi motivasi, penyediaan peralatan mahupun dana demi menyuburkan minat dan mengangkat potensi besar anak-anak muda dalam bidang seni dan budaya.
Katanya, kejayaan itu bukan hanya milik MRSM dan FELDA tetapi milik seluruh rakyat Malaysia.
“Semoga ia menjadi inspirasi kepada anak-anak muda luar bandar bahawa tiada batas untuk bermimpi, dan tiada sempadan untuk berjaya!
“Syabas keluarga besar MRSM, FELDA dan MARESMAF, anda benar-benar telah ‘mendonia’!,” ucapnya.
