23 JUN : Isteri kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun jam 3.34 pagi di Pusat Perubatan Normah.
Berita duka itu dikongsikan Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman melalui satu hantaran di Facebook.
Fazzrudin berkata majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya mulai jam 10 pagi hingga 12 tengah hari ini.
“Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya,” katanya.
Allahyarhamah merupakan anak kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kedua, Allahyarham Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman.
Perkahwinan Allahyarhamah dengan Abang Johari dikurniakan dua cahaya mata, Datuk Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan.