Jentera kerajaan perlu seragam pastikan kejayaan RMK13

23 JUN : Jentera kerajaan perlu bergerak dengan semangat yang sederap dan seragam dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Itu yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim usai mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, hari ini yang bertujuan bagi meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK13.
“Saya tegaskan bahawa kejayaan RMK13 bergantung kepada penyelarasan yang kemas serta kesiapsiagaan setiap kementerian untuk melaksanakannya secara berimpak.
“Setiap jentera pentadbiran perlu bergerak dengan semangat sederap dan seragam sebagai sebuah kesatuan pasukan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata RMK13 merupakan kesinambungan kepada pembaharuan yang digerakkan Kerajaan MADANI sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, ia berteraskan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menyusun semula struktur ekonomi, mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat serta membina negara yang lebih adil, mampan juga berdaya tahan.
“RMK13 dirangka hasil perbincangan berterusan antara kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu.
“Dokumen penting yang akan membentuk hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun ini bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung bulan depan,” katanya.
Menyentuh tentang mesyuarat hari ini, Anwar berkata barisan menteri dan pengurusan kementerian diberi ruang seluas-luasnya untuk menyumbang idea, cadangan serta mempertajam pelaksanaan.
Katanya, ia bagi memastikan setiap jentera kerajaan memahani peranan dalam melaksanakan dasar yang berpijak pada realiti dan tuntutan masa depan ini.
Beliau dijangka membentangkan dokumen itu di Parlimen pada hujung bulan depan.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*OLEH : HANUM RAJAK