24 JUN : Majlis Media Malaysia (MMM) menyifatkan kesilapan penerbitan berkait infografik Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail perlu diselesaikan dengan pendekatan konstruktif bukannya menghukum.
Majlis itu berkata tindakan melalui undang-undang hanya akan melemahkan kebebasan media di negara ini.
“Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat adalah melalui kewartawanan yang lebih baik, bukan melalui intimidasi atau penindasan.
“Walaupun organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk melapor secara tepat dan beretika, adalah penting juga agar sebarang kesilapan ditangani secara membina dan dalam kerangka yang sewajarnya,” kata MMM dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan menyiarkan infografik yang mengaitkan Mohd Khalid dengan PKR dalam laporan pelantikannya.
Kesilapan itu mendapat reaksi daripada beberapa pemimpin PKR yang juga menteri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Akhbar itu kemudiannya membuat permohonan maaf selepas menarik balik infografik berkenaan.
Menurut MMM, pihak akhbar dan Mohd Khalid disahkan bakal bertemu berkait kontroversi itu.
Tambah MMM, tiada mana-mana profesion yang menginginkan kesilapan namun apabila ia berlaku, bagaimana kesilapan itu ditangani amat penting.