25 JUN : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepas dan dibebaskan daripada hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan, hari ini.
Keputusan sebulat suara oleh tiga panel hakim itu berkait empat pertuduhan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan perkara itu selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi sebelum ini.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan bersubahat walaupun dalam kes prima facie.
“Tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang. Perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen actus reus (perlakuan fizikal jenayah),” kata Noorin.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap bekas menteri itu selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Namun pada 9 November 2023, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.
Mengikut pertuduhan Syed Saddiq didakwa bersubahat bersama bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil daripada aktiviti haram.