Malaysia-Kyrgyzstan mahu Afghanistan diiktiraf semula

25 JUN : Malaysia dan Kyrgyzstan senada agar negara Afghanistan kembali diiktiraf masyarakat antarabangsa selepas pertukaran kerajaan sejak 2021.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Sadyr Zhaparov hari ini sempena lawatan rasmi Presiden Kyrgyzstan itu ke Malaysia.
Menurut Anwar, usaha itu penting sebagai langkah menuju kestabilan serantau dan penerimaan Afghanistan dalam komuniti antarabangsa itu perlu disokong dengan keterbukaan.
“Sebagai negara yang lebih hampir dengan Afghanistan, Kyrgyzstan mempunyai kefahaman lebih mendalam terhadap keadaan sebenar di sana. Justeru, pandangan dan nasihat anda amat berharga buat kami,” katanya, lapor BH.
Pada 15 Ogos 2021, Afghanistan kembali dikuasai Taliban namun sehingga kini masih tidak diiktiraf oleh mana-mana negara.
Dalam sidang media sama, Anwar menuntut Israel mengghentikan genosid terhadap Gaza dan Palestin.
Menurutnya, penderitaan Palestin terus berlangsung akibat kegagalan masyarakat antarabangsa.
“Ada percanggahan dan hipokrasi dalam kalangan banyak negara Barat apabila berdepan dengan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, Zhaparov turut melahirkan kekesalan terhadap kekejaman yang berlarutan di Palestin.
“Sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kami percaya kita semua bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian kolektif terhadap konflik ini secara damai.
“Sebagai tanda sokongan, Kyrgyzstan mendukung usaha bersepadu komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, bagi dihentikan segera permusuhan, menangani krisis kemanusiaan di Gaza, memulakan dialog politik dan menyelesaikan konflik Palestin-Israel berdasarkan resolusi PBB,” katanya.
