Malaysia sedia bantu Kyrgyzstan dalam perbankan Islam, halal

25 JUN : Malaysia sedia membantu Kyrgyzstan dalam sektor perbankan Islam dan industri halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Zhaparov dan delegasinya, hari ini.
“Sudah tentu kita bincangkan soal perbankan Islam, halal, pembinaan, kewangan dan program termasuk cadangan penubuhan bank Islam.
“Akan ada mesyuarat susulan antara menteri-menteri kita,” katanya pada sidang media bersama sempena lawatan Zhaparov ke negara ini.
Menurut Anwar, kerjasama strategik dengan Kyrgyzstan itu penting dalam memperkukuh persefahaman serta memastikan perdagangan serta pelaburan dapat diteruskan.
Dalam sidang media sama, Anwar menzahirkan minat Malaysia terhadap keupayaan Kyrgyzstan dalam tenaga hidro serta tenaga boleh diperbaharui.
“Sudah tentu Kyrgyzstan mempunyai keupayaan besar dalam tenaga hidro, tenaga hijau serta tenaga boleh diperbaharui yang sangat menarik minat Malaysia untuk difahami, dikaji dan dimanfaatkan,” katanya.
Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneroka Pelan Tindakan Kerjasama Halal yang disyorkan Zhaparov.
Katanya, kerjasama dalam pendidikan dan penyelidikan juga dipersetujui dengan memberi penekanan kepada usaha untuk memperkukuh hubungan antara rakyat serta memperluas potensi sosial juga ekonomi kedua-dua negara.
