25 JUN : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelaksanaan caruman mandatori terhadap pekerja bukan warganegara Malaysia mulai Oktober depan.
Badan simpanan persaraan nasional itu berkata langkah itu bagi memperkukuh perlindungan sosial dan menyokong amalan pekerjaan lebih adil selaras piawaian antarabangsa.
Katanya, pelaksanaan itu terpakai untuk semua pekerja bukan warganegara di Malaysia yang mempunyai pasport dan pas kerja sah Jabatan Imigresen (JIM) kecuali pembantu rumah.
Kenyataan itu menyebut, caruman berkenaan akan berkuat kuasa bermula gaji Oktober 2025 bagi caruman November 2025.
“Kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing ditetapkan pada 2 peratus daripada gaji bulanan.
“KWSP sedang mempergiat usaha libat urus dan rundingan bersama majikan serta pihak berkepentingan utama bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang menyeluruh menjelang pelaksanaan undang-undang baharu mewajibkan caruman itu,” kata KWSP.
Sebelum dilaksanakan, sebanyak 30 libat urus strategik dilaksanakan selepas ia diumumkan dalam Belanjawan 2025.