Hampir 4.7 bilion percubaan scam dalam talian sejak 2022

26 JUN : Hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022 di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata angka itu membimbangkan yang memerlukan tindakan tegas diambil.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) tengah hari tadi bagi meneliti langkah segera memperkukuh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
“Mesyuarat dimaklumkan bahawa hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022. Ini satu angka yang membimbangkan dan menuntut tindakan tegas serta bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru itu katanya, kerajaan akan memperluas skop fungsi NSRC di negara ini.
“Atas keperluan ini, Kerajaan bersetuju untuk memperluas skop fungsi NSRC agar merangkumi semua bentuk jenayah siber di samping menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi Kerajaan.
“Pengukuhan NSRC juga akan dilaksanakan menerusi gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC itu termasuk memperjelas peranannya agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat.
“Pendekatan no wrong door turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan.
“Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, pada masa sama, kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus dipertingkat baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
