26 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar umat Islam di negara ini membangun ummah MADANI sempena ketibaan tahun baharu Islam, hari ini.
Beliau berkata hijrah bukan sekadar perpindahan tetapi merupakan satu proses pembaharuan.
“Salam Maal Hijrah 1447H / 2025M. Tahun baru hijrah membawa seruan untuk kita ‘Membangun Ummah Madani’ ummah yang sejahtera, inklusif, berakhlak dan berpaksikan nilai-nilai Islam.
“Hijrah bukan sekadar perpindahan, tetapi satu proses pembaharuan. Ayuh kita terus melangkah ke hadapan dengan ilmu, integriti dan semangat kebersamaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau juga berharap tahun ini menjadi detik permulaan kepada kehidupan yang lebih diberkati dan bermakna.
Pada masa sama beliau mengajak umat Islam menghayati Surah Al-Baqarah ayat 218 yang menyentuh tentang orang beriman, hijrah dan berjihad.
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M diadakan esok di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).