Tiada komisen, ketirisan dalam pembangunan Kota MADANI

26 JUN : Kerajaan menegaskan tiada sebarang komisen mahu pun ketirisan dalam projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya yang menelan kos RM4 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan tersebut dijalankan dengan bersandar kepada iltizam dan tekad untuk mempercepat projek tersebut.
“Jumlah dan kos RM4 bilion ini bukan untuk bermegah dan mendabik dada tetapi ia untuk sejumlah 10,000 keluarga. Tidak ada komisen, jauh sekali kebocoran dan ketirisan.
“Hanya iltizam dan tekad untuk mempercepat, mempermudah, menyempurnakan. Ia bukan projek peribadi Perdana Menteri, ia projek rakyat dan untuk masa depan bangsa,” tegasnya.
Beliau berkata demikian usai menyempurnakan Majlis Peluncuran Pembangunan Kota MADANI di Putrajaya, hari ini.
Pembinaan Kota MADANI dijangka siap pada penghujung 2027 dengan kos RM4 bilion yang akan dibangunkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan build, lease, maintain and transfer (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah–BLMT) tanpa membabitkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Ia melibatkan pembinaan 10,000 unit kuarters kediaman yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak, masjid dan klinik.
Perdana Menteri menyifatkan projek pembangunan itu amat dekat di hatinya malah ia
“Ia adalah sebuah kota yang bukan sahaja menyediakan perumahan mampu milik buat penjawat awam, tetapi juga merupakan cita kehidupan yang berteraskan nilai-nilai yang universal seperti iman, ihsan, inovasi dan kelestarian.
“Daripada kemudahan asas seperti tadika di aras bawah ke masjid di hadapan, dari laluan pejalan kaki ke sekolah dan juga gimnasium serta ruang-ruang hijau, yang direncana dengan teliti bagi menyantuni kehidupan rakyat terbanyak.
“Kota ini bukan sekadar berbentuk fizikal tetapi ia adalah falsafah dan cita-cita seperti yang diungkap pemikir dan pengembara ulung Ibn Khaldun bahawa kota ialah pusat umran hadhari, yakni tempat bertemunya idealisme, teknologi dan nilai,” katanya.
Tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan tidak mahu meneruskan budaya membina bangunan tinggi dan gedung megah tanpa ruh.
“Kita tidak mahu meneruskan budaya membina mercu serta gedung-gedung megah tanpa ruh.
“Yang kita gerakkan kini adalah bandar yang manusiawi, yang menyantuni rakyat terbanyak dari warung sederhana hingga ke ruang tamu yang selesa buat anak-anak bangsa,” katanya.
Menjawab tanggapan orang ramai kononnya Kota MADANI ini satu lagi projek gajah putih yang hanya tinggal nama, Anwar berkata pendekatan pembiayaan yang digunakan dalam projek itu mampu mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Ramai orang beranggapan dan berceloteh melulu bahawa ini seperti projek-projek gajah putih yang lain yang kini hanya tinggal nama.
“Justeru, seperti banyak bangunan-bangunan utama yang didirikan di Putrajaya, projek ini akan dibiayai secara usahasama Kerajaan-swasta (PPP).
“Pendekatan ini mengurangkan beban kewangan langsung Kerajaan dan mempercepat pelaksanaan projek. Ia bukan konsep baharu, tetapi ia berkonsep menambah baik, jauh sekali dibina ‘from scratch’ yang tentunya menelan belanja yang besar. Bezanya ia diangkat dengan ruh dan sifat manusiawi yang tinggi,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK