27 JUN : Kekalahan UMNO selama ini bukan disebabkan parti lawannya kuat namun kerana ‘cah keting’ sesama sendiri.
Perkara itu dibangkitkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini.
Tegasnya, perkara itu tidak boleh dibenarkan berulang lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Sebagai persiapan berdepan PRU16 yang mungkin berbaki dua tahun lagi, cukup-cukuplah kita bergaduh sesama sendiri.
“Jentera parti perlu bersatu dan kuat. UMNO perlu perkukuhkan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO selama ini kalah bukan sebab musuh kuat, tetapi disebabkan berlaku ‘cah keting’ sesama kita, itu yang kita tidak mahu untuk akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang, hari ini.
Selain itu, Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata sepanjang perjuangan UMNO menempuhi mana-mana pilihan raya, parti itu tidak pernah bersendirian.
Jelasnya, pendirian itu bagi memastikan negara ini stabil dan makmur.
“Namun perlu diingatkan dalam sejarah UMNO kita tidak pernah bersendirian berdepan Pilihan Raya Umum (PRU). Untuk memastikan negara kita stabil dan makmur, kita tidak boleh berseorangan.
“Sehingga kini peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan Barisan Nasional (BN) akan kekal dalam konteks Kerajaan Perpaduan pada PRU16 nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf berkata UMNO bukan sekadar sebuah parti politik sebaliknya ia wadah perjuangan yang terbina atas asas kesetiaan kepada agama, bangsa dan tanah air.
“Perjuangan ini adalah amanah besar yang diwariskan oleh pejuang-pejuang terdahulu yang meletakkan Islam sebagai teras, mempertahankan agenda Melayu Bumiputera dan menjaga kedaulatan negara tercinta ini,” katanya.