28 JUN : Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad masih mempunyai ruang untuk mempertimbangkan keputusannya meletakkan jawatan.
Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kurang seminggu lagi surat peletakan jawatan Nik Nazmi akan berkuat kuasa.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri masih mengharapkan Nik Nazmi menimbangkan semula keputusannya kerana kebolehan dan bakat beliau masih diperlukan dalam pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Saya mengenali Nik sangat lama, masa saya Timbalan Ketua Pemuda, saya sangat kenal dia, seorang yang sangat berbakat, intelektual orangnya.
“Sistematik gerak kerjanya, namun dia pun memilih untuk berundur dan cutinya berakhir 4 Julai ini. Ada ruang sedikit ini, saya masih lagi berhasrat untuk beliau kembali menjawat kedudukannya.
“Saya percaya Nik masih lagi ada ruang untuk menimbang dan memikirkannya. Saya masih boleh buat rayuan yang sama kerana saya tidak menyebelahi mana-mana DAMAI atau HIRUK,” katanya lapor BH.
Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) merupakan strategi kempen diperkenalkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.
Rafizi kemudiannya meletakkan jawatan selepas tewas dalam Pemilihan PKR diikuti Nik Nazmi.
Pada 28 Mei, Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 4 Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya mengesahkan menerima surat tersebut namun belum meluluskan peletakan jawatan kedua menteri berkenaan dengan mengharpkan mereka mempertimbangkan kembali keputusan tersebut.
Namun, Rafizi tetap dengan keputusannya yang berkuat kuasa 17 Jun lalu.
Sementara itu, Saifuddin berkata sebagai orang lama dalam parti, beliau memilih untuk terus berperanan dalam mengharmonikan hubungan sesama pemimpin PKR.
“Saya sampai saat akhir (sebelum Pemilihan PKR) kerap mendampingi Nurul Izzah dan Rafizi, malah beberapa jam sebelum bertolak ke Johor pun, saya undang mereka ke rumah dan berbincang selama tiga jam dari hati ke hati.
“Pelbagai perkara yang saya lihat, ada titik temu dan ada perbezaan. Saya boleh mainkan peranan itu sebagai orang lama bagi kedua-dua mereka dan akan terus memainkan peranan saya itu.
“Saya tidak peduli malap atau cerah (kedudukan dalam parti) atau jawatan tinggi…saya takrifkan kejayaan saya dalam parti apabila kekal istiqamah dan sumbangan signifikan dalam parti,” katanya.