28 JUN : Ibu bapa dinasihatkan menghalang anak-anak berusia bawah 13 tahun daripada memiliki mana-mana akaun media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata terlalu banyak jenayah dalam media sosial dilaporkan yang membawa mudarat kepada kanak-kanak.
“Penipuan dalam talian, buli siber dan macam-macam lagi. Jika masih ingat, kes pempengaruh media sosial… mendiang Rajeswary Appahu, atau Esha. Mendiang dibuli bertubi-tubi sehingga dia membuat keputusan sedemikian.
“Hari ini undang-undang lebih ketat dan kita boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan buli siber,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata bagi tahun ini sahaja Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah meminta188,528 kandungan di media sosial diturunkan setakat 28 Jun lalu.
“Daripada jumlah itu, 173,642 kandungan sudah dipersetujui platorm media sosial terbabit untuk diturunkan atas sebab melanggar undang-undang.
“Kandungan tertinggi yang diturunkan melibatkan judi dalam talian iaitu sebanyak 90,770.
“Sukacita diingatkan lagi, hanya platform media sosial mempunyai kuasa untuk menurunkan sesuatu kandungan itu, MCMC sekadar menyampaikan aduan,” katanya.