28 JUN : Malaysia melaksanakan pelbagai usaha untuk mempelbagaikan pasaran perdagangan serta membuka peluang perniagaan baharu susulan konflik Asia Barat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia kini meluaskan jalinan dagangan dengan lebih banyak negara termasuk BRICS.
“Jadi bagi kami di Malaysia, kita perlu mempelbagaikan langkah strategik. Kita sedang membuka pasaran baharu. Saya juga telah ke Norway baru-baru ini kerana Norway kini mempengerusikan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) yang dianggotai empat negara Eropah yang berada di luar Kesatuan Eropah (EU).
“Jadi kita telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), kita mahu perdagangan lebih aktif dengan negara-negara Eropah. Kita juga akan ke BRICS di Brazil minggu depan kerana kita mahu juga menjalin hubungan dengan negara-negara lain. Jadi kita perlu mempelbagaikan hubungan perdagangan,” katanya, lapor RTM.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi soal jawab semasa merasmikan penutupan Forum Belia Nusantara di Putrajaya.
Menurut Tengku Zafrul, pendirian Malaysia yang kekal berkecuali turut menjadi langkah kehadapan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan dan berdaya tahan dalam landskap ekonomi global yang mencabar.