ECERDC: Letak kepentingan jangka panjang tarik pelabur

30 JUN : Malaysia perlu meletakkan kepentingan jangka panjang dalam usaha menarik pelaburan ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang berlangsung, hari ini.
“Saya telah tekankan keperluan meletakkan kepentingan jangka panjang negara dalam usaha menarik pelabur-pelabur, termasuklah kepentingan peratusan elemen peralihan teknologi dan kemahiran dalam setiap pelaburan masuk yang diluluskan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut berkongsi pencapaian ECERDC untuk tahun ini yang berjaya merekodkan pelaburan direalisasikan mencecah RM6.4 bilion.
“Sewaktu mesyuarat ECERDC hari ini, beberapa perkara terkait kemajuan semasa petunjuk-petunjuk utama bagi koridor ekonomi ini diteliti selain membincangkan kerangka hala tuju pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang sedang giat disediakan kerajaan.
“Mesyuarat dimaklumkan bahawa bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2025, ECERDC telah berjaya merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 bilion dengan pengwujudan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Selain itu, menurut Anwar dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan komited ECERDC juga mencecah RM10.4 bilion iaitu melepasi sasaran RM10 bilion ditetapkan untuk tahun 2025.
Menurutnya, perencanaan kerajaan terutamanya melalui Pelan Pembangunan ECER antara lain akan menyaksikan sebanyak lapan buah projek strategik dan berimpak tinggi yang dijadualkan akan siap pada tahun ini.
“ECERDC perlu meneruskan momentum ini melalui proses fasilitasi yang efisien dan proaktif yang akan mengukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*’OLEH : HANUM RAJAK