30 JUN : Tentera Thailand menafikan spekulasi bakal berlaku rampasan kuasa di negara itu.
Menteri Pertahanan Thailand, Phumtham Wechayachai berkata tenteranya tidak berhasrat untuk merampas kuasa sekaligus menepis dakwaan dicetuskan kumpulan yang melakukan demonstrasi, baru-baru ini.
Kumpulan itu mendakwa tentera akan campur tangan di tengah-tengah ketegangan dalam isu sempadan Thailand-Kemboja.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand berkata keempat-empat cabang angkatan tentera senada melihat cabaran dihadapi negara itu ketika ini perlu diatasi secara konstruktif.
“Idea mengenai kudeta tidak ada dalam fikiran pemimpin tentera. Fokus mereka adalah menyelesaikan masalah negara,” katanya.
Kelmarin, Tugu Peringatan Kemenangan di Bangkok menjadi tumpuan kumpulan demonstrasi menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra menangani isu pertikaian sempadan Thailand-Kemboja.
Dalam pada itu, Phumtham berkata kerajaan mengalu-alukan sebarang cadangan yang membina.
Dalam perkembangan sama, Phumtham berkata rombakan Kabinet sudah diajukan kepada pihak istana dalam usaha menangani isu utama dan memacu kemajuan negara.
Paetongtarn sebelum ini terpalit skandal rakaman perbualan telefon yang bocor dalam isu sempadan tersebut yang mencetus kemarahan rakyatnya.