30 JUN : Kabinet memutuskan tuan rumah sambutan Hari Malaysia akan dipilih secara bergilir antara negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata peluang menjadi tuan rumah itu tidak terhad kepada kepada Sabah dan Sarawak.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata kerajaan memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia tahun ini yang diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, April lalu.
“Kali terakhir sambutan Hari Malaysia diadakan di Semenanjung ialah di Melaka jadi kita bawa ke Pulau Pinang pula tahun ini.
“Selepas ini, maksudnya ia akan bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Mungkin tiga tahun dari sekarang kita akan pilih negeri lain supaya semua ada peluang untuk menjadi tuan rumah.
“Selain itu, kerajaan negeri juga telah menyatakan kesediaan untuk menjadi penganjur bersama dan satu mesyuarat telah diadakan pagi ini bersama Ketua Menteri, Chow Kok Yeow bagi menyelaras persiapan penganjuran itu,” katanya.
Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth pada 16 September depan jam 8.30 malam.
*FOTO : FACEBOOK KEMENTERIAN KOMUNIKASI