1 JUL : Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen Ogos atau September depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu sebagai langkah penting ke arah membina kerangka perlindungan sosial dan undang-undang yang lebih adil, inklusif dan progresif.
“Ekonomi gig kini menjadi nadi kepada kehidupan lebih 1.12 juta rakyat Malaysia.
“Malaysia sedang melakar sejarah sebagai negara pertama di dunia yang akan mempunyai undang-undang khusus untuk pekerja gig termasuk sektor penghantaran makanan (p-hailing), pengangkutan (e-hailing), ekonomi digital dan pelbagai bentuk pekerjaan baharu yang muncul dalam lanskap ekonomi moden,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan kerajaan juga akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan pelaksana utama yang akan menyelaras, memantau dan memacu hala tuju sektor ini secara bersepadu.
Katanya, suruhanjaya itu akan ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan dasar dan tindakan dapat diselaraskan secara menyeluruh di peringkat nasional.
“Matlamat kita jelas untuk mewujudkan keseimbangan antara kepentingan industri dan kebajikan pekerja gig, sambil menjadikan ekonomi gig sebagai pemacu utama kepada ekonomi digital negara yang lebih adil, responsif dan mampan.
“Insya-Allah, dengan dasar yang progresif dan kerjasama erat semua pihak, Malaysia mampu menjadi peneraju serantau dalam membina ekosistem ekonomi gig yang inklusif, seimbang dan berdaya tahan,” katanya.
*FOTO: FACEBOOK ZAHID HAMIDI