Malaysia-Itali runding perluas kerjasama strategik

2 JUL : Malaysia dan Itali berunding tentang usaha memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, hari ini.
“Menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Republik Itali, Antonio Tajani di Rom, hari ini.
“Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Itali yang telah lama terjalin, berlandaskan prinsip saling menghormati antara satu sama lain.
“Kami turut membincangkan usaha memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan Malaysia serta ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau dan Antonio turut bertukar pandangan berkait isu-isu serantau dan global termasuk konflik di Gaza, situasi di Ukraine dan perkembangan di Asia Barat khususnya melibatkan Iran dan Israel.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia menghargai hubungan erat dengan Itali sebagai rakan penting dalam usaha memperkukuh kerjasama rentas benua demi keamanan, kemakmuran dan kemajuan bersama.
Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Itali atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni.

*OLEH : HANUM RAJAK