PM yakin hubungan Malaysia-Itali akan terus berkembang

3 JUL : Malaysia menghargai keterbukaan, kesungguhan dan komitmen Itali sebagai rakan kongsi penting.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin hubungan erat antara Malaysia dan Itali itu akan terus berkembang demi kemajuan, kesejahteraan dan masa depan yang lebih cerah bersama.
Beliau menzahirkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni di Rom sebelum menamatkan lawatan rasminya ke negara itu, hari ini.
Anwar menyifatkan pertemuan dengan Giorgia itu sesuatu yang bermakna dan membuka ruang kepada perbincangan yang produktif dan menyeluruh.
“Ia merangkumi pelbagai aspek kerjasama dua hala termasuk pelaburan strategik, pertahanan, tenaga lestari serta pembangunan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan.
“Kami turut bertukar pandangan berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang memerlukan penyelesaian kolektif berlandaskan prinsip keamanan sejagat, keadilan dan saling menghormati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas pertemuan dengan Giorgia sekali gus menandakan lawatan rasminya ke negara itu tamat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lawatan rasminya itu platform memperluas kerjasama strategik yang memanfaatkan rakyat di kedua-dua negara.
“Kunjungan ini memperteguh tekad bersama untuk memperluas kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara, berpaksikan semangat persahabatan yang tulus dan saling mempercayai.
“Saya menyambut baik pelaburan syarikat-syarikat terkemuka Itali seperti Leonardo, Fincantieri dan ENI di Malaysia dan mengalu-alukan penglibatan lebih meluas syarikat negara ini dalam Zon Ekonomi Khas serta pelaksanaan program latihan industri yang berpaksikan kepakaran dan pemindahan teknologi,” katanya.
Selain itu kata Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara ASEAN dan rakan-rakan antarabangsa termasuk Itali demi menjamin kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta mampan di rantau ini.
Beliau juga menyifatkan kunjungannya ke Itali mencapai matlamat dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara Malaysia dan Itali dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Itali atas jemputan serta layanan penuh mesra dan semangat persahabatan kepada delegasi Malaysia.
“Terima kasih juga buat pasukan kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Rom, para petugas keselamatan dan rakan-rakan media yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran setiap aturcara sepanjang berada di bumi Itali,” katanya.
Terdahulu, Anwar diberi sambutan rasmi di Palazzo Chigi sempena lawatannya ke negara itu.
Anwar dan delegasi Malaysia kini meneruskan perjalanan ke Paris, Perancis untuk lawatan rasmi yang seterusnya.

*OLEH : HANUM RAJAK