3 JUL : Normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi perlu dihentikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan perkara itu susulan angka pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menghidapi HIV mencecah 1,091 orang.
Mohd Na’im akui data itu meruntun hatinya lebih-lebih lagi majoriti pelajar tersebut hanya berusia 18 hingga 19 tahun.
“Meruntun hati melihat data ini. Sebanyak 1,091 pelajar IPT direkodkan menghidap HIV antara tahun 2020 hingga 2024 dengan 222 kes baharu tahun lalu, majoritinya berumur hanya 18 hingga 19 tahun.
“Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama, saya amat bimbang dengan perkembangan ini. Gejala sosial dan keruntuhan nilai moral menjadi punca utama kepada peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan anak muda.
“Sudah tiba masanya kita hentikan normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi. Sudah tiba masanya kita bangkit membina benteng akhlak dan rohani,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan melaporkan 222 pelajar IPT dikesan menghidap HIV pada usia seawal 18 hingga 19 tahun, tahun lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata secara keseluruhan sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menyeru pelajar dan anak muda agar menjaga maruah dan nilai diri masing-masing serta jalani kehidupan dengan prinsip bukannya sekadar mengikut arus.
“Agama bukan sekadar pelajaran, ia panduan kehidupan. Hiduplah dengan prinsip, bukan sekadar ikut arus,” pesannya.
Mohd Na’im berkata pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan perlu berjalan seiring dalam menangani isu itu.
“Agensi agama, NGO dan institusi pendidikan mesti berganding bahu untuk menyelamatkan generasi pewaris negara.
“Kerajaan MADANI komited membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi intelek, tetapi juga sihat dari segi akhlak dan spiritual,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK