4 JUL : Semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga bilik hotel.
Perkara itu ditegaskan Kementerian Kewangan (MOF) sambil menekankan semakan tersebut tidak memberi kesan kepada barangan keperluan rakyat.
“Semakan SST tidak memberi kesan ke atas barangan keperluan harian asas, namun mungkin memberi kesan tidak langsung kepada hotel melalui peluasan skop cukai perkhidmatan ke atas penyewaan premis komersial serta cukai jualan ke atas makanan tertentu seperti makanan laut premium dan buah-buahan import.
“Bagaimanapun, kesan tidak langsung ini dijangka tidak menyebabkan peningkatan kos operasi hotel sehingga 10 hingga 15 peratus,” kata MOF, lapor Bernama.
MOF mengulas kemungkinan mengenai kemungkinan kenaikan kadar bilik hotel susulan peluasan skop SST seperti dakwaan beberapa persatuan hotel.
Terdahulu, pihak persatuan mendakwa sesetengah pengusaha hotel perlu menaikkan harga bilik sebanyak 10 hingga 15 peratus berikutan semakan struktur cukai tersebut.
Mengulas lanjut, MOF berkata sekiranya terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik dengan alasan SST, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti perkara tersebut bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.
“Jika terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik sehingga 15 peratus dengan alasan SST, kerajaan melalui KPDN akan meneliti kesan sebenar SST terhadap hotel-hotel terbabit bagi memastikan tiada unsur pencatutan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peluasan skop SST ke atas barangan dan perkhidmatan namun beberapa pengecualian diumumkan termasuk buah-buahan import seperti oren.