4 JUL : Seorang rakyat Malaysia dilaporkan antara mangsa yang masih hilang dalam kejadian feri KMP Tunu Pratama Jaya karam di perairan Selat Bali, malam semalam.
Individu berkenaan dikenal pasti sebagai Fauzey Awang yang dipercayai berada dalam sebuah van pelancong yang dibawa menaiki feri itu.
Operasi pencarian kini diperluas dan menumpu kawasan permukaan laut meski terdapat kemungkinan ada mangsa yang terperangkap dalam feri yang tenggelam.
Media tempatan melaporkan enam kematian dengan lebih 30 mangsa lagi masih hilang.
Feri itu karam kira-kira 30 minit selepas meninggalkan pelabuhan.
Laporan awal menyebut keadaan cuaca buruk, ombak besar dan kebocoran ruang enjin kemungkinan menjadi punca feri itu karam.
Feri malang itu dilaporkan membawa 53 penumpang, 12 anak kapal dan 22 kenderaan ketika berlepas dari Pelabuhan Ketapang di Jawa Timur menuju Pelabuhan Gilimanuk di Bali sekitar jam 11 malam waktu tempatan.