Tanggal 7 Julai hari ini, seluruh warga besar FELDA meraikan Hari Peneroka FELDA peringkat Kebangsaan sebagai satu penghargaan kepada sumbangan dan komitmen para peneroka dalam membina kemajuan negara.
Sejak penubuhannya 69 tahun lalu, FELDA bukan sahaja menjadi tulang belakang pembangunan luar bandar, malah telah membuka ruang kepada lebih 112,638 peneroka dan hampir 3 juta generasi FELDA di seluruh negara untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Sejak dari awal, FELDA kekal teguh dengan mandat asalnya — memberi tanah kepada yang tidak bertanah, mencipta pekerjaan untuk mereka yang tidak bekerja, dan tanah yang subur untuk rakyat yang layak. Prinsip inilah yang menjadi asas kepada segala pencapaian dan kejayaan FELDA hingga ke hari ini.
Tetapi FELDA hari ini bukan lagi hanya tentang getah, kelapa sawit dan tanah rancangan ia sedang melalui satu proses menyusun semula kekuatan lama untuk menghadapi cabaran baharu, agar terus relevan, mampan dan terus menjadi kebanggaan negara.
FELDA membuka lembarannya untuk turut menyerlah dalam bidang pendidikan, keusahawanan, teknologi makanan, seni dan budaya – hasil usaha gigih peneroka, generasi demi generasi.
Bagi tahun 2025, saya ingin menekankan beberapa agenda utama yang akan menjadi tunjang kepada usaha kita bersama demi manfaat rakyat dan negara:
Pertama, kita perlu mengangkat semula nilai dan martabat FELDA ke tahap yang lebih tinggi. Ini termasuk usaha memperkukuh kesejahteraan ekonomi peneroka melalui peningkatan pendapatan, peluang baharu dan pemerkasaan komuniti. Ini adalah matlamat nasional untuk memartabatkan jasa peneroka dan memastikan mereka terus menjadi tunjang pembangunan desa dan negara.
Kedua, kita harus memperkukuh peranan FELDA sebagai kuasa besar industri makanan dan komoditi dunia. Di bawah FELDA, Malaysia telah muncul sebagai antara pemain utama industri sawit global — melalui FGV, pengeluar Minyak Sawit Mentah (MSM) ketiga terbesar di dunia. Selain itu, FGV juga menguasai pasaran gula tempatan dan memperkenalkan produk-produk di bawah jenama Saji yang bukan sahaja menembusi isi rumah Malaysia tetapi juga pasaran antarabangsa.
Ketiga, pembangunan generasi baharu FELDA mesti diberi keutamaan melalui pendidikan berkualiti, latihan kemahiran dan sokongan keusahawanan. Antara pencapaian membanggakan tahun ini ialah apabila pasukan MaresmaF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan Prague ke-26 — bukti bahawa generasi FELDA mampu berdiri megah di pentas dunia.
Untuk tahun ini, karnival Hari Peneroka tahunan yang ditunggu-tunggu oleh semua warga Peneroka akan bergabung dengan Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan nama Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D). Mega Karnival dengan tema “Desaku Mendunia” bakal berlangsung pada 30 Julai – 3 Ogos 2025 ini juga merupakan antara agenda penting kita dalam mempromosikan produk FELDA dan memperkenalkan hasil kerja keras komuniti FELDA kepada dunia. Karnival ini bakal menjadi medan penyatuan komuniti — dari segi inovasi, pelancongan, perniagaan dan warisan budaya.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peneroka FELDA atas pengorbanan, usaha dan semangat yang tidak pernah luntur sejak penubuhan FELDA. Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak, FELDA akan terus menjadi pemangkin kemakmuran luar bandar dan aset strategik negara.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi