7 JUL : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta meneliti penambahbaikan yang boleh dijalankan di kesemua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penambahbaikan itu penting bagi memastikan NADI dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
“Saya akan minta supaya MCMC meneliti beberapa penambahbaikan supaya NADI ini benar-benar dapat menjadi NADI MADANI.
“Kita mahu semua 1,099 NADI MADANI dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025 di Geneva, hari ini.
Dalam majlis tersebut, Malaysia menerima pengiktirafan global melalui Projek Inklusif Digital NADI Malaysia yang dinobatkan sebagai juara Hadiah WSIS 2025.
Mengulas tentang pencapaian itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kejayaan tersebut merupakan satu pengiktirafan dunia terhadap usaha MCMC yang boleh dicontohi negara lain.
“Ini satu pengiktirafan bahawa usaha di bawah MCMC bukan hanya berhasil membantu warga di kawasan pedalaman yang lama dibelenggu masalah Internet, malah boleh dijadikan contoh kepada negara lain.
“Di banyak tempat, bila saya bercakap dengan menteri-menteri dan saya memaklumkan kepada mereka tentang usaha seperti ini, mereka menunjukkan minat untuk melihat inisiatif dan model ini,” katanya.
