Lawatan diplomatik PM medan yakinkan pelabur

8 JUL : Lawatan diplomatik rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara yang disusuli dengan komitmen pelaburan asing menggambarkan kesungguhan Malaysia dalam membawa perubahan struktur ekonomi ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing.
Penganalisis Ekonomi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata lawatan-lawatan tersebut juga bukan sekadar memenuhi keperluan hubungan antarabangsa, malah ia menjadi medan penting untuk meyakinkan komuniti pelabur global terhadap dasar ekonomi negara ini.
Katanya, pelaburan dalam sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi tinggi dan aeroangkasa juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melakukan perubahan struktur ekonomi ke arah yang lebih kukuh dan progresif, dengan penekanan kepada nilai tambah tinggi, pekerjaan berkemahiran dan berasaskan inovasi.
“Sebagai contoh, pelaburan dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil dan menjadikan Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim.

“Selain itu, pelaburan dalam teknologi maklumat dan aeroangkasa pula berupaya meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih kompetitif dalam ekonomi digital dan industri masa hadapan.
“Peralihan kepada ekonomi berintensifkan pengetahuan pula selari dengan matlamat negara menjadi ekonomi maju yang mampan, inovatif dan tahan terhadap ketidaktentuan pasaran global,” katanya kepada BBCPORTAL.
Dalam siri lawatan Perdana Menteri yang terkini ke Itali, Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan sebanyak RM8.13 bilion bagi sektor petrokimia, jentera, elektrik dan elektronik serta perkhidmatan juga peralatan minyak dan gas.
Ia turut menjana potensi eksport RM425 juta melibatkan produk oleokimia, biobahan api, aditif makanan ternakan dan makanan, hasil mesyuarat dua hala bersama 41 syarikat Itali.
Pada misi ke Perancis pula, Malaysia berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM4 bilion dan eksport RM675 juta yang memfokuskan sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, tenaga boleh baharu, automotif, ekonomi digital dan halal.
Dalam pada itu, Nuradli berkata lawatan diplomatik Perdana Menteri ke luar negara juga merupakan langkah strategik untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka sederhana.
Jelas beliau, pelaburan langsung asing (FDI) yang diperoleh hasil lawatan tersebut mampu membawa impak besar kepada ekonomi jika dilaksanakan secara menyeluruh.
“FDI bukan sahaja membawa masuk aliran modal baharu ke dalam negara, malah turut membuka peluang pekerjaan, memperkenalkan teknologi terkini dan memperkukuhkan rantaian bekalan tempatan.
“Kesan berganda daripada pelaburan ini juga mampu merangsang sektor perkhidmatan, meningkatkan produktiviti serta menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara mampan,” katanya.
Bagaimanapun, Nuradli berkata kejayaan pelaburan tersebut bergantung kepada kecekapan pelaksanaan kerajaan serta agensi berkaitan.
Justeru itu, beliau menyarankan agar kerajaan terus memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor strategik berimpak tinggi bagi membina asas ekonomi yang kukuh dan stabil.
“Ia termasuk penyediaan infrastruktur yang mencukupi, kemudahan perniagaan yang mesra pelabur dan jaminan kestabilan dasar…tanpa tindakan susulan yang menyeluruh, pelaburan yang diumumkan mungkin tidak dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Sejak 1 Julai, Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Itali, Perancis dan Brazil bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta memperluas kerjasama perdagangan dan ekonomi.
Beliau turut menyertai Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Rio de Janeiro mewakili Malaysia sebagai negara rakan, selain membawa suara ASEAN selaku Pengerusi ASEAN 2025 dalam isu-isu global seperti tadbir urus, kecerdasan buatan, perubahan iklim dan kesihatan.
OLEH: AISYAH BADRUL