8 JUL : Malaysia perlu bertindak pantas susulan pengumuman tarif import 25 peratus yang dikenakan Washington.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata tarif Amerika Syarikat (AS) itu bukan sekatan untuk menjalankan urusan perdagangan dengan negara lain.
“Bukan Malaysia sahaja yang berdepan tarif tambahan daripada AS. Apa yang saya ingin tekankan, daripada jumlah keseluruhan eksport sebanyak RM186 bilion, hanya sekitar RM20 bilion sahaja yang dieksport ke AS.
“Dalam dunia ini terdapat kira-kira 190 negara, jadi tidak mungkin disebabkan tindakan tarif AS, kita semua tidak boleh berniaga dan menjalankan ekonomi. Justeru, kita perlu menyesuaikan keadaan dan bertindak dengan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri sesi dialog kunjungan Jaringan Perdagangan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), hari ini.
Menurut Johari, tiada alternatif lain di AS untuk minyak sawit dan realitinya tarif dikenakan terhadap Malaysia itu akan ditanggung rakyat AS sendiri.
Mengulas soal kadar tarif 32 peratus yang dikenakan AS terhadap Indonesia, Johari berkata ia tidak memberi kelebihan yang ketara kepada Malaysia memandangkan kos pengeluaran komoditi itu jauh lebih rendah berbanding negara ini.
“Produk mereka jauh lebih murah dan tidak sama seperti Malaysia yang mempunyai pekerja asing mereka menggunakan tenaga kerja tempatan.
“Malaysia menumpukan kepada standard dan soal pekerja asing juga melibatkan kos levi yang perlu dibayar. Namun, kedua-dua negara mempunyai kelebihan masing-masing.
“Indonesia mempunyai populasi sekitar 300 juta, manakala Malaysia hanya 34 juta. Daripada jumlah itu, kita menggunakan kira-kira 4 juta pekerja dan menghasilkan 19 juta metrik tan pengeluaran sawit.
“Maka, 15 juta metrik tan perlu dijual dan dieksport. Kalau tidak, siapa yang akan membeli? Oleh itu, kita juga memastikan kualiti pengeluaran sawit mencapai standard tertentu dan itu sedang kita usahakan,” katanya.
Menurutnya, jemaah menteri akan berunding berkait tarif itu esok.
Tarif baharu dikenakan AS ke atas Malaysia akan berkuat kuasa 1 Ogos depan.