9 JUL : Malaysia menzahirkan hasrat untuk dipilih semula sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Malaysia kekal sebagai pemain aktif dalam ITU daripada janji Partner2Connect kepada kepengerusian Kumpulan Kajian ITU dan penganjuran program pembinaan kapasiti.
“Kami memohon pemilihan semula ke Majlis ITU bagi penggal 2027–2030. Matlamat kami jelas untuk membantu membina sebuah masyarakat global yang lebih berhubung, berpengetahuan dan inklusif.
“Kami mengulangi komitmen penuh kami untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi bagi meningkatkan keterangkuman digital, mengukuhkan daya tahan dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam era digital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ucapan pemimpin di Acara Peringkat Tinggi Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) di Geneva, hari ini.
Malaysia kini merupakan ahli Majlis ITU yang telah dipilih bagi penggal 2023-2026, yang membolehkan negara ini menyertai usaha membentuk hala tuju dasar strategik ITU dan mewakili kepentingan rantau Asia dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital.
ITU ialah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi telekomunikasi dan teknologi digital yang memperuntukkan spektrum frekuensi radio, membangunkan piawaian antarabangsa untuk memastikan keserasian rangkaian komunikasi serta berusaha merapatkan jurang digital di seluruh dunia.
Sementara itu, Fahmi berkata hasrat Malaysia itu menerima maklum balas positif daripada Setiausaha Agung ITU, Doreen Bogdan-Martin.
Menurut Fahmi, kerajaan akan terus berusaha menyampaikan mesej kepada negara-negara anggota ITU bahawa keterlibatan Malaysia sebagai Ahli Majlis adalah sesuatu yang memberi nilai tambah dan wajar diteruskan.
Katanya, ia juga membolehkan Malaysia berperanan dalam perbincangan berkaitan piawaian dan dasar dalam sektor telekomunikasi termasuk teknologi 5G serta teknologi baharu seperti 6G.
“Sama ada pelaksanaan 5G melalui model rangkaian tunggal atau dwirangkaian, kita dapat kongsikan secara jelas untuk membantu negara lain memahami serta mengenal pasti piawaian yang sesuai mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
