Anwar suarakan isu tarif kepada Setiausaha Negara AS

10 JUL : Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap kenaikan tarif import yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkata itu ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, hari ini.
Tegas Anwar, tindakan AS yang secara unilateral itu hanya akan menjejaskan aliran perdagangan bebas.
“Menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang mencerminkan komitmen bersama untuk melonjak hubungan Malaysia-AS ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Saya menegaskan kebimbangan Malaysia terhadap pelaksanaan tarif import 25 peratus oleh AS seperti yang diumumkan Presiden Donald Trump.
“Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Trump mengumumkan tarif import Malaysia pada kadar 25 peratus iaitu peningkatan 1 peratus berbanding kadar diumum sebelum ini.
Malaysia menerima kadar sama dengan Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan yang akan berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Washington perlu terus membuka ruang rundingan bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil.
“Saya menyatakan pendirian bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun.
“Akhir pertemuan, saya turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, Oktober ini,” katanya.
Selain itu, Anwar menegaskan Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan.
Selain itu tarif, Anwar memaklumkan mereka turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar.
Malah pertemuan itu katanya, membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.

*OLEH : HANUM RAJAK