10 JUL : Pelantikan hakim mahkamah atasan di negara ini perlu ditangani dengan cermat dan elak daripada dipolitikkan.
Penegasan itu dibuat Istana Negara dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Istana Negara, pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dengan integriti selaras Perlembagaan Persekutuan.
“Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, isu pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman hangat diperkatakan pelbagai pihak selepas kekosongan jawatan tersebut susulan penyandangnya bersara wajib bulan lalu.
Dalam pada itu, Istana Negara memaklumkan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri.
“Hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim masing-masing bersara wajib, minggu lalu.
Susulan itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengumumkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan) sehingga jawatan itu diisi.
Sementara Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan.
*OLEH : HANUM RAJAK