14 JUL : Malaysia memperkukuhkan lagi perkongsian ekonomi dengan New Zealand dalam lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kali ini.
Menurut Ahmad Zahid, hubungan erat antara kedua-dua negara diperlihatkan melalui sesi libat urus bersama ASEAN-New Zealand Business Council di Auckland.
“Hari pertama lawatan saya ke New Zealand diteruskan dengan menghadiri sesi libat urus bersama ASEAN-New Zealand Business Council di Auckland.
“Sesi ini bukan sekadar forum perniagaan tetapi memperlihatkan hubungan erat yang sudah terjalin selama beberapa dekad antara Malaysia dan New Zealand dalam pelbagai bidang,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam rangka lawatan ke New Zealand.
Dalam pada itu, menurut Ahmad Zahid, beliau menyentuh soal perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-New Zealand dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) yang terus membawa impak positif kepada kedua-dua negara.
Malah katanya, Malaysia juga sudah menggandakan penggunaan manfaat AANZFTA daripada RM5.8 bilion pada 2016 kepada RM12.9 bilion pada 2023 dengan sasaran untuk meningkatkan nilai perdagangan sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
“Selain itu, saya juga menggariskan tumpuan masa depan kerjasama ini dalam beberapa bidang seperti kelestarian dan tenaga boleh baharu, ekonomi digital melalui MyDIGITAL dan inovasi teknologi, sekuriti makanan, industri halal dan pendidikan.
“Insya-Allah, usaha ini dilihat mampu meningkatkan nilai dagangan dua hala, akses pasaran untuk produk tempatan, limpahan pelaburan asing berkualiti, serta penciptaan peluang perdagangan baharu yang dapat memacu negara mendepani cabaran ekonomi global,” katanya.
