15 JUL : Tiada campur tangan kerajaan dalam Majlis Media Malaysia (MMM) termasuk Kementerian Komunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sekali lagi memberi jaminan itu sambil menegaskan MM perlu bebas untuk mana-mana isu yang berbangkit.
Kata Fahmi, kementeriannya berhasrat membantu majlis itu dari sudut perundangan dan dana bagi membolehkan ia bergerak lancar.
Menurut Fahmi, kerajaan perlu mempertimbangkan wartawan atau pengamal media yang bergerak sama ada secara bebas atau tersusun untuk menggunakan platform dan mod komunikasi baharu.
“Cuma satu harapan saya iaitu rakan dalam lembaga pengasas Majlis Media ini melihat hubungan dengan pihak kementerian ini, kami mahu membantu Majlis Media diwujudkan dan bergerak, tidak ada niat untuk mengawal atau mengarahkan mereka.
“Kami mahu anda bebas untuk mempertimbang, membincangkan bagi menetapkan sesuatu.
“Saya lihat di masa depan, tak mustahil Majlis Media boleh beroperasi secara sepenuhnya berdikari, itu tidak menjadi masalah dan terpulang kepada lembaga pengasas kelak mempertimbangkan apakah kaedahnya, apakah cara-caranya, tetapi sekiranya perlu, kerajaan akan sentiasa mendampingi untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Sebagai Anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia, hari ini.
Fahmi turut mengumumkan nama 12 anggota majlis itu melibatkan wakil syarikat dan organisasi media; wakil persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.
