16 JUL : Harga runcit RON97 dan diesel meningkat sebanyak 3 sen seliter bagi tempoh 17 Julai hingga 23 Julai 2025.
Perkara itu diumum Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini.
“Seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia, kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.21 seliter manakala harga runcit diesel di Semenanjung pada kadar RM2.91 seliter,” kata kementerian itu.
Sebelum ini, harga runcit petrol RON97 ditetapkan pada kadar RM3.18 seliter manakala diesel pada kadar RM2.88 seliter.
Menurut kementerian itu, harga runcit diesel di Semenanjung masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu RM3.35 seliter.
Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter pada tempoh sama
Kementerian itu juga mengumumkan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisma Harga Automatik.
Kata kementerian itu lagi, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit petrol RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.